Friday, January 6, 2012

Bintangor - Binatang / Menatang Sarawak

Bandar Bintangor, nama Binatang satu ketika dulu..
Kampung Bintangor dipercayai mula dibuka penempatannya pada tahun 1896. Ia terletak kira-kira 22 kilometer dari Sarikei dan lebih kurang 50 kilometer dari Sibu. Penduduk yang membuka penempatan ini berpindah ke Kampung Bunut Ulu kerana tanah di Kampung Bintangor pada masa itu tidak sesuai untuk tanaman padi. Walau bagaimanapun, pemerintah pada zaman itu ialah Raja Brooke telah memanggil kembali penduduk yang berhijrah ke Bunut Ulu untuk menetap di Kampung Bintangor. Ini kerana mereka diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan pedagang-pedagang dari Sibu dan Sarikei yang sering dirompak di Bintangor. Kedudukan Bintangor yang berada di tengah Sarikei dan Sibu menyebabkan Bintangor sebagai kawasan strategik kepada perompak-perompak pada masa dulu.
Asal-usul nama Kampung Bintangor ialah Kampung Binatang. Timbul nama Binatang kerana ada peristiwa aneh yang berlaku di mana tiba musim buah ‘engkabang’.Pelbagai jenis binatang aneh yang tidak pernah dijumpai datang dan berhijrah hanya untuk makan buah ‘engkabang’. Kejadian aneh ini menyebabkan penduduk setempat memberikan nama kampung ini sebagai Kampung Binatang.
Pada tahun 1935, kaum Cina, Iban dan Melayu bermesyuarat sesama mereka bertujuan untuk mencari nama baru bagi kampung mereka. Namun, pada tahun 1984 Kerajaan Sarawak mengarahkan agar nama Daerah Binatang ditukar bagi menangani masalah sensitiviti nama tempat di Sarawak . Daerah Binatang telah ditukarkan kepada Meradong manakala nama bandar secara rasminya dikekalkan kepada nama Bintangor yang diambil sempena dengan nama pokok yang banyak terdapati di situ. Nama Meradong pula diambil sempena nama sungai yang mengalir di pertengahan daerah Kampung Bintangor.
Manakala buah Limau Bintangor pula cukup terkenal di Sarawak. Limaunya yang berperisa masam manis sentiasa menjadi tarikan penggemar buah di Sarawak. Oleh kerana itu, limau telah dijadikan maskot Bandar Bintangor.
Kampung Melayu yang terdekat dengan bandar ialah Kampung Bintangor. Kampung Besar Bintangor ini terbahagi kepada lima kampung lain iaitu Kampung Abang Amin, Kampung Muhibbah, Kampung Abang Ali, Kampung Bidadari dan Kampung Gelam. Manakala kampung Iban yang berdekatan pula ialah Kampung Pilit, Kampung Turak, Kampung Gemuan dan Kampung Selidap. Sumber pendapatan utama mereka ialah berkebun dan bercucuk tanam secara kecil-kecilan. Di kebanyakan tempat, penduduk kampung menanam padi hanya untuk keperluan keluarga sahaja.
Bandar Bintangor semakin membangun apabila Jambatan Nyelong Hilir dibuka kepada lalu lintas sejak 26 Oktober 2008 yang lalu. Ia sudah pasti memberi kemudahan dan melancarkan perjalanan menuju ke Bintangor.
Berdasarkan statistik tahun 2008, Bandar Bintangor mempunyai 30,755 orang penduduk yang mana kaum Iban mendominasi jumlah penghuni di bandar ini dengan jumlahnya kira-kira 12, 806 orang. Sementara itu, penduduk Cina merupakan kaum kedua terbesar, kira-kira 11, 252 orang dan kaum Melayu seramai 4,583 orang. Walaupun berbeza budaya dan agama, penduduk di sini hidup dengan aman damai. Masyarakat Iban dan Melayu bekerja sebagai nelayan dan bercucuk tanam manakala kaum Cina membuka kedai runcit dan perniagaan lain.
Disediakan oleh, Siti Nurul Ain Merin Abdullah, Pembantu Tadbir ( Kewangan ) W17 Jabatan Peguam Negara Sarawak.
Sila klik juak, news paper, politik dan apa-pa sia. ok!